Sunday, November 22, 2009

Harga Diri Bahasa Arab

Oleh: Dr. Mohd Rosdi Ismail

Suatu petang, saya terima satu panggilan telefon: "Dr! Sayo nak dafta anok sayo sorang". Bersemangat dan penuh ambisius dia meminta agar saya mendaftar nama anaknya dalam senarai peserta program KURSUS INTENSIF BAHASA ARAB pada bulan Disember 2009 nanti. Saya jawab: "Bolehhhh". "Lagu mano yuran-yuran dio?", terjah soalannya lagi. Untuk memuaskan hatinya, saya cuba memberi penjelasan dan wajaran sebelum menyebut jumlah yuran yang dikenakan. Dalam nada tergesa-gesa (kesibukan agaknya) dia mencelah: "Tak po la .. Berapo ssema nyo"? Demi menghormati dan merai keadaan pemanggil itu, saya berkata: "RM 1400.00". Terus berdentum dari mulutnya : "Ggapo dio ???? ... Bak po yan maha ggitu lalu tu???". Belum sempat saya memberi penjelasan seterusnya, dia terus berkata: "Tak po .. takpo .. Terima kasih lah".

Begitulah kedudukan Bahasa Arab pada sesetengah kita. Sebenarnya caj yang saya kenakan itu adalah untuk kos bahan-bahan pengajian dan 144 jam pengajian secara intensif. Jika ditolak caj pemprosesan sebanyak RM 200.00, kursus tersebut hanya bernilai RM8.30/jam sahaja. Itulah harga terkini diri bahasa Arab yang ingin ku bela.

Sebenarnya, Bahasa Arab adalah penawar terbaik untuk hati-hati manusia yang luka atau telah sekian lama menderita. Ia bisa membantu mereka untuk mendekati sumber makanan rohani manusia, iaitu al-Quran. Kita akan cepat ke klinik atau hospital apabila sedar dihinggapi penyakit. Namun, tak ramai dari kalangan kita sedar bahawa hampir kesemua hati manusia hari ini sudah lama mengalami derita penyakit yang sangat kronik. Doktor mana yang dapat memberitahu mereka? Apa pula bukti hati mereka telah lama sakit?

Baiklah! Sila jawab soalan-soalan berikut;-

1- Anda pernah belajar al-Quran ?

2- Anda minat baca al-Quran ?

3- Anda selalu baca al-Quran ?

4- Anda faham bila baca al-Quran ?

Jika anda jawab "tidak" untuk mana-mana satu soalan tersebut, benarlah sebenarnya hati anda sakit dan telah sekian lama sakit. Namun anda tidak menyedari. Berapa umur anda sekarang? Angka yang anda beri itu adalah tempoh sakit yang telah anda lalui.

Maafkan saya! Itu baru soalan-soalan pengantar. Saya belum tanya tentang kefahaman dan penghayatan anda dalam ibadah-ibadah seharian. Setakat membaca terjemahan (seperti yang pernah disaran dan dipertahankan oleh saudara Kassim Ahmad dan rakan-rakannya ketika dahulu) , belum cukup untuk melentur hati kita mendekati Allah s.w.t. dengan penuh kasih sayang. Apa lagi untuk berkorban pada jalannya.

Sedarlah! Kita sebenarnya telah lama berkorban harta, masa, tenaga dan segala upaya yang ada demi membina sebuah rumah, membeli beberapa buah kereta, berkahwin beberapa isteri, memenuhi selera makan dan minum, bercuti dan sebagainya. Pendek kata, kita sanggup belanja besar untuk keperluan jasmani kita berbanding keperluan rohani kita. Paling hebat, kita akan ke Mekah berkali-kali untuk haji dan umrah. Namun ... sebanyak manakah kita telah belanjakan harta kita untuk memahami al-Quran yang datang dari Allah s.w.t.

Anda tentu tahu jawapannya dan tak payahlah untuk menjawab kembali pertanyaan saya. Cukuplah anda korbankan harta demi mempelajari hikmah dan rahsia yang tersirat dalam al-Quran. Jika ingin mencuba, anda dijemput untuk mengikuti kelas pengajian FIQH AL-ARABIYYAH yang diadakan secara percuma pada setiap hari Sabtu, jam 5-7 petang di Pusat Bahasa Arab Mikro, Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan. Para sahabat yang berada di luar Kelantan, anda diminta bersabar sehingga program ini dikendalikan secara online pada tahun hadapan. Doakan.

Umat Islam perlu memperbetulkan kembali persepsi mereka terhadap Bahasa Arab. Dek kejahilan kita dalam memahami al-Quran, kita hanya mampu bersandar kepada kata-kata para ulama dan terlalu terikat dengan pandangan tersebut walaupun masa telah lama menuntut kita mengkaji dan membuat penilaian semula. Jika kita tidak berkesempatan lagi untuk mempelajari Bahasa Al-Quran ini, janganlah pula kita menghalang anak-anak kita mempelajarinya hanya kerana persepsi kita yang salah terhadap bahasa Arab.

Hari ini, kita boleh beli dapur (yang berfungsi untuk memenuhi kebutuhan perut) dengan harga yang mahal. Namun bila peti derma hari Jumat melintas di hadapan kita, adakah sumbangan yang telah kita beri selama ini lebih mahal daripada harga dapur tersebut? Bagaimana pula dengan jumlah ringgit yang telah kita belanjakan untuk bahasa al-Quran yang sekiranya ia diturunkan ke atas bukit, nescaya bukit itu akan hancur?.

Tak payahlah kita tunggu orang lain guna harta kekayaan kita sebagai upah membaca al-Quran sesudah kita mati. Pada waktu itu, ia belum tentu dapat membela kita. Apakah pada waktu itu baru kita sibuk nak minta tolong orang cetak buku Yasin dan Tahlil (dengan terjemahan) untuk diagih-agihkan dengan harapan (kononnya) kita akan dapat - paling tidak - sedikit ganjaran sebagai bekal mati? Tapi jangan salah faham. Saya tidak bermaksud amalan-amalan tersebut tidak bermanfaat.

Saudaraku! Marilah kita kembali menjulang kitab Allah s.w.t. dan membongkar segala isi kandungnya. Hanya dengan memahami al-Quran sahaja, umat Islam akan dapat mematahkan serangan musuh. Jika selama ini kita kagum dengan kepentingan bahasa Inggeris, namun sedarkah kita bahawa kita telah berdosa apabila tidak membesarkan al-Quran dan mempelajarinya serta mengamalkannya dalam kehidupan kita?

Kepada para jutawan yang mempunyai lebihan harta, saya berseru sokonglah mana-mana institusi yang memperjuangkan bahasa al-Quran. Tajalah program-program anjuran mereka. Bantulah dan permudahkanlah usaha mereka untuk mengembangkan bahasa al-Quran ini. Sumbangkanlah sebahagian daripada peruntukan anda kepada mereka. Allah pasti akan memberkati usaha dan kehidupan anda.

Sekian, terima kasih.
Nilam Puri, 1.39 pagi.

1 comment:

  1. Al Quds Travel Welcome You :-

    "AL QUDS TRAVEL FAIR 09"
    Date : 10,11,12 December 2009
    Time : 10.30 am - 10.00 pm
    Venue : Ruang Legar KB Mall K.Bharu
    Organizer : Al Quds Travel Sdn Bhd
    Official Radio : THR Gegar FM
    Tel No : 609-747 9999

    Diskaun hebat untuk semua
    pakej pelancongan!!!

    ReplyDelete