Wednesday, February 9, 2011

Teknik Berfikir Bahasa Arab Mikro

Oleh : Dr. Mohd Rosdi Ismail

Salam sejahtera pembaca budiman!

Maafkan saya kerana sudah lama tidak menulis di ruangan ini. Kali ini saya ingin mengajak saudara mengatasi masalah KECELARUAN SISTEM BERFIKIR dalam proses pembelajaran bahasa Arab di kalangan orang Melayu.

Kecelaruan tersebut bermaksud "kesilapan mengatur langkah yang betul ketika membuat perbandingan antara dua sistem berfikir dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu". Keupayaan membuat padanan yang betul antara bahagian-bahagian dalam dua sistem bahasa tersebut akan memudahkan sesuatu proses pertuturan atau penulisan.

Secara mudah, ada tiga bahagian utama yang perlu diberikan perhatian seperti yang tertera dalam gambarajah di atas, iaitu; a- Proses Pembentukan Perkataan, b-Kedudukan perkataan dalam sistem ayat dan c- Realiti atau konteks ayat.

Bahagian Pertama : PEMBENTUKAN KATA
Pembentukan kata bermaksud keupayaan mengolah sesuatu kata sumber kepada bentuk-bentuk baru untuk membawa makna-makna imbuhan yang diperlukan oleh konteks bahasa. Pada bahagian ini pelajar perlu menguasai WAZAN 50 untuk tujuan tersebut. Wazan tidak perlu dihafal, sebaliknya perlu dihayati. Video Wazan 50. Saya berjaya buktikan kepentingan wazan tersebut dan keberkesanan teknik tadi dalam bengkel yang telah dianjurkan.

Selain itu, pelajar juga perlu mengenali golongan kata bahasa Arab yang betul ketika membuat padanan atau pemilihan kata terutamanya ketika menterjemah. Bahasa Arab Mikro telah asingkan golongan kata bahasa Arab kepada lapan (8) kumpulan, iaitu : KATA DASAR (المصدر), KATA KERJA (الفعل), KATA SIFAT (الوصف), KATA NAMA (الاسم), GANTI NAMA (الضمير), KATA ADVERBA (الظرف), PARTIKEL (الأداة) dan KATA EKSKLAMSI (الخالفة). Memahami aspek persamaan dan perbezaan antara lapan golongan kata tersebut adalah amat penting. Dalam gambarajah tersebut bahagian ini dipanggil "نوع".

Bahagian Kedua : SISTEM AYAT.
Sistem ayat Bahasa Arab meliputi tiga bahagian utama, iaitu 1-Teori Perkaitan Makna dan Struktur Ayat 10, 2-Pelengkap Ayat dan 3-Pengolahan Ayat.

Teorti Perkaitan Makna ialah sistem yang menghubung perkaitan makna antara Subjek dan Predikat. Memahami seni dan bentuk-bentuk perkaitan yang berlaku adalah laluan utama ke arah memahami Sistem Ayat 10 Bahasa Arab Mikro. Ia boleh dirumuskan kepada tiga kedaan yang saling berkait rapat. Video Ayat 10.

Pelengkap Ayat ialah perkataan yang diguna sebagai pengembang kepada dua rukun ayat yang telah dibina. Bahagian inilah yang sering diberi perhatian oleh kebanyakan para pengajar bahasa Arab sehingga kelihatan seolah-olah itulah bahagian utama sistem bahasa Arab. Sebenarnya ia bukan sedemikian kerana Sistem Perkaitan Makna (Ayat 10) sebenarnya tulang belakang bahasa Arab. Oleh sebab itu bahasa Arab Mikro tidak akan membebani pelajar dengan penditilan pada bahagian ini. Secara ringkas Kata Pelengkap dalam bahasa Arab boleh diasingkan kepada dua keadaan, iaitu Pelengkap Bersendi dan Pelengkap Tidak Bersendi. Tunggu penjelasan dalam siri-siri berikutnya

Pegolahan Ayat pula bermaksud perubahan yang berlaku pada sistem sesuatu ayat. Secara umum ia menyentuh 1-Aspek Kala Kata Kerja, 2-Aspek Kala Ayat Namaan, 3-Fungsi Frasa atau Klausa Tambahan dalam sesuatu ayat. Bahagian ini tidak begitu diberi penekanan dalam sukatan atau kurikulum bahasa Arab di Malaysia.

Bahagian Ketiga : KONTEKS AYAT.
Konteks Ayat merujuk kepada peristiwa bahasa yang berlaku dalam sesuatu proses komunikasi sama ada melalui ujaran nyata atau berkias. Ia berkaita rapat dengan faktor budaya, agama, politik dan masa. Semua ini mempunyai pengaruhnya ke atas bahasa manusia.
Secara mudah, jika ingin menterjemah teks bahasa Arab ke bahasa Melayu, anda perlu memahami bentuk dan golongan kata setiap perkata yang dibaca. Sesudah itu boleh anda berpindah kepada Sistem Ayat dan Konteks Ayat.
Namun, jika ingin menterjemah teks bahasa Melayu ke bahasa Arab pula, anda pelu memahami konteks ayat bahasa Melayu terlebih dahulu. Setelah itu barulah meneliti sistem ayat dan mencari padanannya yang sesuai daripada 10 sistem Ayat bahasa Arab (Ayat 10). Selanjutnya bolehlah anda meneliti jenis perkataan yang diguna dan menentukan golongannya yang bersesuaian dalam bahasa Arab. Setelah itu, anda boleh memulakan proses terjemahan.
Sekian, jumpa lagi.
6.33 Petang, Nilam Puri
9 Feb 2011