Wednesday, February 10, 2010

ALLAH : "Apa Sebenarnya?"

Oleh : Dr. Mohd Rosdi Ismail

Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa tiba-tiba kalimah "Allah" diperdebatkan? Dua soalan ini mungkin boleh dijadikan titik tolak untuk menguraikan segala kekeliruan yang berpusing dalam kepala sekian ramai orang Islam.

Bagi golongan yang menyokong (termasuk Dr.Yusuf al-Qaradawi), mereka melihat Allah adalah tuhan sekelian manusia (dan alam) samaada muslim atau kafir. Oleh itu adalah tidak mengapa jika orang-orang bukan Islam (Kristian khasnya) memakai kalimah Allah dalam ibadat mereka, apa lagi kalau sekadar untuk "menyebut" Nya.

Lebih menggerunkan lagi apabila mereka berhujah manusia menjadi kafir dan beriman pun dengan kehendak Allah s.w.t. juga dan kita tiada hak untuk memaksa mereka menerima konsep TAUHID dalam beriman kepada Allah s.w.t. Boleh mati akal kita (yang jahil) bila berdepan dengan "hujah kudus" seperti ini.

Seterusnya, lebih hebat lagi, mereka menyarankan agar umat Islam tidak terlalu bersifat "defensif" bahkan perlu "lebih berani" dan "terbuka" dalam berdepan dengan cabaran sebegini. Pada saya, bagi kita yang mampu dan ada kesempatan untuk berfikir dan menulis memang tidak menjadi masalah. Namun kita perlu sedar manusia bukan seperti kita lebih ramai di luar sana.

Dalam ghairah mempertahankan fahaman ini, kalimat-kalimat beracun seperti berfikiran sempit, berebut, bertolak ansur (tasamuh), agama samawi, unsur keganasan, demi keadilan sesama insan, keterbukaan, bukan isu nas, soal urusan setempat dan seumpamanya telah menjadi perisai ampuh buat mereka. Ramai juga yang termakan atau paling tidak menjadi "pening lalat" dengan ramuan semburan seperti itu. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan fahaman mereka dianggap "pelik bin ganjil", cucu kepada "hairan bin bingung". Antara mereka yang terkenal dengan "keganjilan" ini ialah Dr. Harun Din, Zulkifli Nordin dan Taib Azamuddin.

Saya juga adalah salah seorang daripada golongan "ganjil" ini. Sehingga kini, saya telah dan masih meneliti hujah-hujah golongan "arus perdana" itu. Namun terus terang saya katakan hujah-hujah dan penjelasan mereka masih belum mampu menundukkan akal saya untuk keluar dari "dunia ganjil" dan mengikut olak arus perdana itu.

Terus terang saya katakan bahawa ;-

1-Hasil semakan yang saya buat menunjukkan bahawa semua nas-nas al-Quran yang dipakai sebagai hujah oleh golongan arus perdana ini telah tidak ditafsirkan dengan tepat, terutama dari sudut bahasa dan wacana. Petikan yang diambil lebih bersifat sudut picisan yang bersesuaian dengan ideologi yang didukung oleh mereka. Hasilnya konteks sebenar nas berkenaan tidak terserlah dan menjadi koyak. Saya dah tulis penemuan tersebut.

Antara petikan nas yang paling popular ialah (ليقولن الله), namun mereka tidak pula menafsirkan maksud atau dilalah ayat-ayat sanggahan dan penafian yang ada selepas itu. Jika adapun, ia dilihat dalam bentuk "cuma" atau "apa yang". Senang cakap, mereka melihat pengakuan orang Kristian bahawa Allah sebagai pencipta dan ketuhidan Allah adalah dua perkara yang boleh dipisahkan. Inilah punca sebenar kepada khilaf yang berlaku. Pada saya, Allah tidak mencipta manusia melainkan untuk menyembah Nya dan cara penyembahan yang dikehendaki oleh Allah itulah yang perlu dipakai oleh manusia. Manusia tidak mempunyai kebebasan untuk menentukan cara menyembah Allah s.w.t. Oleh itu, bagaimana mungkin seorang Kristian ingin menyembah Allah s.w.t. tanpa menerima syariat Nabi Muhammad s.a.w.

2-Sebenarnya ramai yang tidak sedar bahawa nas-nas al-Quran yang dipakai oleh golongan arus perdana ini (konon) adalah nas-nas yang berkisar tentang RUBUBIYYAH ALLAH. Iaitu pengakuan bahawa Allah sebagai pencipta alam. Kita perlu tahu bahawa pengakuan yang disebut dalam ayat-ayat tersebut adalah andaian Allah jika soalan: "Siapa pencipta Alam?" ditanya kepada mereka. Jawapan kepada andaian tersebut sudah dapat diteka dari awal. Mereka pasti akan berkata: "Allah". Jadi pengakuan di sini tidak bermaksud untuk tujuan ibadah dan tauhid atau ULUHIYYAH ALLAH. Ia hanyalah jawapan orang-orang yang tersepit. Oleh itu, pengakuan tersebut bukanlah hujah bahawa mereka juga ingin menyembah Allah seperti yang didakwa oleh golongan arus perdana hari ini.

KITA PERLU SEDAR BAHAWA ALLAH TIDAK MENGHANTAR PARA RASUL UNTUK SEKADAR MENGAJAR MANUSIA MENGAKU BAHAWA ALLAH ADALAH TUHAN... SEBALIKNYA MEREKA DIUTUS UNTUK MENGELUARKAN MEREKA DARI SYIRIK KEPADA TAUHID.

3- Jika selama ini mereka sering berhujah (senada dengan orang Kristian) bahawa kalimah "Allah" telah lama digunakan di Sabah dan Sarawak dalam ibadah mereka, kita boleh bertanya ; "Kenapa pula sekarang anda cuba menyalahgunakannya dalam bahan-bahan bercetak yang disebar luas kepada orang-orang Islam?". Sebenarnya inilah yang kita tentang dan kita bimbang. Sikap "lunak" golongan arus perdana ini boleh menjadi pintu kepada tuntutan lain yang bakal menyusul sehingga akhirnya suasana dan persekitaran Malaysia tidak lagi kelihatan Islam. Apakah bila semua ini TELAH terjadi dan anak-anak kita sudah tidak dapat membeza antara syiar Islam dan Kristian, maka pada waktu itu baru kita nak mengeluh? Lihatlah apa yang telah terjadi di Indonesia, tanah perkuburan pun boleh dikongsi antara Islam dan Kristian atas alasan para Malaikat lebih tahu membeza antara mayat muslim dan kristian.

Kita sering berhujah dengan sejarah dan keadaan yang berlaku di Sabah, Sarawak, Indonesia dan negara-negara Arab di dunia. Namun tak nampakkah kita apa yang telah menimpa manusia-manusia seperti Mahmood Abbas, Husni Mubarak, Yaseer Arafat dan seumpamanya. Mereka ini adalah orang-orang yang bersuara lunak bila berdepan dengan isu-isu seperti ini. Umpamanya, kita tidak pelik jika insan seperti Syeikh Tantawi "menyerang" wanita berfurdah berbanding mereka yang berpakaian belah dan dedah sana sini. Inikah yang dikatkan arus perdana?

4- Golongan arus perdana sering menuduh golongan "ganjil" sebagai "takut" dan "terlalu bimbang". Saya masih lebih rela digelar "penakut" dan "terlalu bimbang" kerana ketakutan atau kebimbangan tersebut masih berasas. Saya sedar bahawa tuntutan mereka (Kristian) bukan atas asas TAUHID dan IBADAH kerana masih berpegang kepada ajaran yang telah dinasakhkan oleh syariat Allah yang diutuskan melalui nabi Muhammad s.a.w. Apa yang disebut oleh mulut mereka tidak seperti yang tersirat dalam hati mereka. Tujuan mereka ialah untuk menyatakan bahawa "kita menyembah Allah yang sama". Pada saat ini di manakah status agama Islam yang diberitahu oleh Nabi Muhammad sebagai agama yang lebih tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

Saya tidak hairan jika orang Kristian berusaha untuk mengguna kalimah "Allah" kerana mereka juga mendakwa agama mereka datang daripada Allah. Namun saya tertanya-tanya bila saya lihat orang Islam yang beriman dengan syariat Nabi Muhammad s.a.w. beriya-iya berhujah untuk memberikan "hak" kepada syariat yang telah dinasakhkan oleh Allah s.w.t. sendiri. Apa yang mereka mahu? Kenapa tidak mereka jelaskan hakikat TAUHID dan perbezaan antara RUBUBIYYAH dan ULUHIYYAH Allah kepada orang-orang Kristian ini sebelum mereka layak guna kalimah "Allah".

Dalam "Seminar Pemikiran Islam" yang dianjurkan oleh Tabung Amanah Tok Kenali dan NGO Kelantan pada 4 Februari 2010, saya telah dikejutkan dengan laungan takbir ALLAHU AKBAR yang nyaring dan bertalu-talu apabila ada patah perkataan ucapan editor majalah Herald, St Lawrence Andrew yang bertepatan dengan aspirasi pihak pengajur. Antaranya : "maka saya sangat, memang gembira, saya berada di antara sahabat-sahabat, sebab di sinilah kita dapat melihat bukanlah kemusuhan tetapi persaudaraan".... TAKBIIIIIIIIR.

Saya tertanya-tanya: "Adakah firman Allah ولن ترضى عنك اليهود ولا النصارى حتى تتبع ملتهم sudah tidak terpakai lagi pada zaman kita ini?" atau "Apakah saya berfikiran sempit dan mereka pula terlalu terbuka? Adakah saya masih tak faham maksud ayat tersebut dan mereka mempunyai huraian yang lebih moderat?". Entahlah ...! Apapun saya masih lagi memlih untuk "berfikiran sempit".

Sekian dahulu.

Nilam Puri, 11.30 pagi.