Saturday, January 2, 2010

Sang Tuhan Bapa

Oleh: Jamaluddin Bin Awalluddin

Adalah menjadi hukum kewujudan manusia, bahawa melakukan sesuatu itu PASTI demi sesuatu. Samaada sesuatu itu dilakukan demi Allah atau Zeus; Dewa api atau Dewa laut; demi "benda" atau demi "ego", yang pastinya, gandingan nama-karakter yang membentuk identiti sembahan itu perlu jelas, dengan harapan supaya ianya boleh menjawab soalan tentang "Siapa?" dan "Yang mana?".

Dikatakan kekosongan predikat-subjek pada awal ayat Basmallah adalah untuk diisikan dengan niat-pelaku, dan disambung kepada " .. dengan Nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang", yang membawa makna bahawa sesuatu yang bakal dilakukan oleh seseorang muslim itu adalah dilakukan demi Allah pentadbir sekelian alam.

Oleh itu dalam soal penamaan Tuhan untuk kiblat pengabdian, kewujudan nama-karakter yang jelas, adalah hukum penentu yang mahaperlu.

Lebih kurang 1400 tahun dahulu, sebelum munculnya bintang cerah di langit, kabilah-kabilah Arab mendepa dan mendongak - sujud demi berhala. Ratusan berhala yang wujud itu adalah sebahagian daripada karakter Allah sembahan mereka. Dan sebahagian daripada ahli masyarakat mereka juga percaya bahawa Allah itu mempunyai anak, tanpa isteri yang sah.

Ringkasnya pada waktu itu konsep tentang kewujudan Allah sudah dibina dengan "sempurna" oleh pemahat-pemahat batu yang kreatif-inovatif dan rahib-rahib hebat dari kalangan mereka. Jelas disini bahawa nama dan karakter Allah rujukan mereka telah wujud dengan jelas sepertimana yang disebutkan.

Sebaliknya kemunculan bintang cerah di Mekah telah diikuti dengan kelahiran seorang Nabi akhir zaman yang benar, yang berjuang selama 13 tahun, demi memperbetulkan konsep tentang "Siapa itu Allah" dan memperkenalkan tentang bagaimana karakternya yang sebenar, sebelum melanjutkan dakwahnya tentang konsep rukun-rukun hidup yang lurus.

Demi usahanya itu, baginda telah dikeji, dilempar duri dan najis, diugut bunuh serta pelbagai lagi lontaran cabaran-cabaran yang mahahebat. Dan penyucian karakter Allah itu adalah sebahagian daripada asbab bagi peringkat awal pengutusannya - menebas apa-apa idea batil tentang karakter Allah.

Pada 31hb Disember 2009 tempohari, keputusan yang berkecenderungan untuk menduakan karakter Allah Maha Sempurna di dalam psyche bangsa Melayu bersama karakter "Allah yang membiak" telah mengundang pelbagai tindakbalas. Jerit-jerit lantang majoritinya datang daripada kalangan melayu-muslim yang menentang. Bagaimanapun, terdapat juga siulan nyaring dari kalangan gergasi bersuara halus yang membenarkannya dengan berhujah bahawa Allah jenis membiak ini pernah wujud di dalam psyche arab jahiliah [Arab Jahiliyyah?! Maha Suci Allah dari rujukan konteks hina dina!].

Untuk mengapung inti kebenaran dari riuh-riuh pergolakkan mental ini, demi Allah Maha Agung, akan dipetik beberapa dalil-dalil al-Quran tentang bagaimanakah karakter Allah yang sebenar, yang wajib bagi setiap manusia menghamba diri kepada-Nya.

Diriwayatkan musyrikin Mekah datang kepada Rasulullah dan bertanya: "Jelaskan kepada kami tentang karakter Tuhanmu". Maka surah berikut pun diturunkan:

"Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia". (Q:112:1-4)

Dan begitu juga penjelasan daripada ayat berikut:

"Allah, tidak ada tuhan selain Dia. Yang Mahahidup, yang terus-menerus mengurus, tidak mengantuk dan tidak tidur. Milik-Nya apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya. Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang dibelakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmu-Nya melainkan apa yang Dia kehendaki. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Dan dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Dia Mahatinggi, Mahabesar." (Q:2:255)

Dan perlulah bagi muslim mengimani bahawa, Allah itu karakternya adalah sepertimana yang diisbatkan di dalam inti-inti surah di atas. Dan jika terdapat entiti yang identitinya dipautkan kepada nama Allah tanpa mengheret karakter yang sama, maka jelas itu adalah usaha penduaan.

Dan apabila terdapat usaha sebegini dilakukan, adalah menjadi tanggungjawab muslim untuk melaungkan hakikat kebenarannya serta membantah apa-apa usaha yang sehaluan dengannya.

Oleh itu, adalah jelas disini bahawa deklarasi penerbit majalah Herald - The Catholic Weekly yang menuntut "bahawa perkataan Allah bukan eksklusif kepada Agama Islam" adalah tuntutan dangkal yang subversif bagi muslim.

Dunia perlu menyedari bahawa salah satu daripada faktor penting kelahiran muslim akhir zaman 1400 tahun yang lalu adalah demi menafikan laungan-laungan gagap yang melukis karakter Allah dengan karakter-karakter hina dan absurd.

Buat muslim, perlulah dikenang perjuangan Rasulullah dan para-para sahabat terawal yang bermati-matian berusaha membersih nama Allah dari karakter hina dan absurd serta laungan "Ahad! Ahad!" sahabat besar Bilal Bin Rabah yang pernah sesak ditindih ibu batu.

Nilam Puri, Kelantan.