Wednesday, November 4, 2009

Bahasa Arab dan Gunung?

Oleh : Jamaluddin Bin Awalluddin

Gunung, kenapa gunung? "siapa" itu gunung?

Dikatakan, susun kata Bahasa Arab yang membentuk al-Quran itu, ideal sifatnya. Sebagaimana batu penimbang yang menentukan laras keadilan berat timbangan dacing, begitu jugalah sifat Bahasa Arab yang melaras kesesuaian makna wahyu mengikut sebagaimana yang dikehendaki Sang Pencipta. Tidak lebih dan tidak kurang, setiap kata; setiap susun; setiap lagak gaya itu tepat ketat dengan matlamat maknanya. Itulah apa yang bijak pandai bahasa kata.

Apa hal dengan gunung? Kerana gunung lah H2O suci itu wujud. Kerana gunung lah haiwan dan tumbuhan melata lega dari dahaga. Dan, boleh kata, kerana gunung jugalah perang antara manusia pernah meletus untuk merebut hasil airnya. Air mengalirnya bukan sahaja suci, tapi berkhasiat. Suhu tinggi boleh turun, badan letih boleh bertenaga.

Gunung berdiri tetap menanti dicurah awan. Air yang mencurah turun dari langit, menyusur meredah kerangka pengadun-perisa gunung. Dari menitis-nitis kecil, merayap, terjun dengan tragedi, sehinggalah mengalir lesu menjadi habuan hidupan tegak dan melata sekaligus menjadi faktor penggerak kepada rentak hidup hidupan tersebut. Itu gunung.

Dalam Bahasa Arab, kerangka pengadun-perisa gunung itu ibarat aspek Fonologi, Morfologi dan Sintaksisnya. Ia menyalurkan kalimah-kalimah asas dari berunsur kering dan absurd sehingga menjadi makna berwajah ayat, sarat dengan khasiat-khasiatnya. Ilmu fonetik mengkhusus kepada hal penyebutan kata, sedang morfologi berkaitan proses pembentukkan kata, manakala sintaksis pula berkaitan dengan hubungan antara kata atau kalimah. Ringkasnya, ia adalah tentang bagaimana kata itu dipilih, dirangka-gabung serta dilafaz. Dan ketiga-tiga ciri inilah yang menjadi penentu kepada nafas makna sesuatu baris ayat dalam Bahasa Arab.

Asasnya, setiap bahasa mempunyai ciri tersebut. Tetapi dalam Bahasa Arab, ketulenannya itu bersifat pasti apabila sejilid al-Quran itu menjadi buktinya. Dan kepatuhannya terhadap ciri tersebut dalam dos disiplin yang tinggi, membuatkan ia menjadi lebih kemas untuk terangkum bersama. Kemisterian mesej dari makna yang berakar dari strukturnya, meletakkan ciri-ciri asas tersebut menjadi ciri penting buatnya.

Sekurang-kurangnya, setakat inilah maklumat permukaan yang boleh difahami tentang Bahasa Arab. Ingat gunung, ingat Bahasa Arab. Gunung itu hukum bahasanya, air berkhasiat itu pula ayat dan maknanya.

Nilam Puri, Kelantan.

No comments:

Post a Comment