Tuesday, July 27, 2010

Nun Jauh Di Sana

Oleh: Jamaluddin B. Awalluddin

Ya, benar. Memang benar.

Waktu bertapa dulu, sebelum meluncur turun merayap ke tanah, pernah dulu Ku dengar Kebayan bersiul, sambil selimput bersimpuh bermain sentil dan ketawa berdekah, katanya, "Di bawah sana nanti, semakin cucu belajar, semakin lah cucu nak tahu. Semakin pula cucu dah tahu, semakin jugalah cucu tak tahu".

Seperti terletusnya kepala mancis, lepas terpecah-nyalanya fosforus membawa terang, maka terbentang luaslah pandang, berterbang-gulunglah fikir melayang kerana jalan masalah sudah menjadi terang PANAS pula berdentang.

Itu adalah hukum ilmu, hukum belajar atau hukum hendak tahu. Semakin meluas terang, semakin kerap tergaru. Terselak satu, tertanya seribu. Terjawab di sini, tertawa pula di sana-di situ.

Mata jitu, tubuh berpeluh angan keliru. Bila teringat terasa rindu, lepas tercinta rasa diburu.

. . . hmnn.

Ringkasnya, sememangnya Quran itu bait-bait "artifak" misteri yang punya aroma harum tersendiri bukan potpuri. Terasa seperti TERLALU muhim untuk menerawang imaginasi menjahil diri, demi mahukan menatap rupa wahyu yang dulu pernah berbisa, tajam tidak berduri.

Ya, memang. Memang jauh lagi .. terlihat NUN jauh di sana, ia berkerdip menari-nari.

11:30 malam, kelam sunyi di Nilam Puri.

No comments:

Post a Comment