Monday, November 9, 2009

Antara "Bid`ah" dan "Sunnah" : Suatu Dimensi Wacana

Oleh : Dr Mohd Rosdi bin Ismail

صلوات شفاء

اللهم صل على سيدنا محمد، طب القلوب ودوائها ، وعافية الأبدان وشفائها ، ونور الأبصار وضيائها وعلى آله وصحبه وبارك وسلم


Pada hari Ahad, 8 November 2009, murid saya, Doktor Mohamad bin Paiman, dari USM Kubang Kerian, bertanya: "Apakah pendapat ustaz terhadap komen Dr. Mohd Asri, bekas mufti Perlis, yang mengatakan Selawat Syifa' itu boleh membawa kepada syirik?" (untuk lihat kenyataan tersebut klik pautan ini. Saya jawab: "Maaf Doktor! Saya tak tahu sangat jawaban terperinci. Namun setahu saya selawat ini dah diamalkan sekian lama oleh ramai para alim ulama'. Apa kata kita tengok pendapat para ulama?" Beliau setuju dengan cadangan saya.

Pokok persoalannya ialah Dr Mohd Asri mengatakan: "kita dapati pertamanya selawat ini tidak ada sumbernya daripada syariah ... bahkan maknanya bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam. Setelah disemak dari beberap segi, maka ia bercanggah dengan akidah Islam".

Ada dua perkara yang perlu dilihat dalam dakwaan tersebut. Pertama; ketiadaan sumber dan dalil yang mengesahkan selawat tersebut boleh diamalkan pada syarak. Kedua; dimensi yang diambilkira sehingga ia dilihat bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah. Setelah meninjau pandangan berbagai pihak, saya dapati ada pro dan kontra tentang selawat tersebut.

Al-Syeikh Muhammed Soleh al-Uthaimeen berkata: "... pada apa yang zahir bagiku, doa ini lebih hampir untuk membawa kepada syirik (kerana) Nabi s.a.w. bukanlah penawar hati dan juga ubatnya dari sudut fizikanya. Maksudnya, apabila hati mengalami penyakit fizikal, maka Nabi s.a.w. bukanlah perawatnya. Ini kerana Nabi s.a.w. telahpun wafat (tiada) pada masa kini. Maka tidak ada sesiapapun yang boleh mengambil manfaat daripada baginda secara fizikal. Adapun apabila seseorang (yang beramal dengan selawat tersebut) bermaksud beriman dengan baginda sebagai penawar hati dan ubatnya, maka ini adalah benar. Memang tidak diragui lagi bahawa beriman dengan Rasul s.a.w. boleh menyembuhkan hati daripada penyakit-penyakit metafizika. Maksudnya, Baginda adalah penawar kepada penyakit-penyakit tersebut ..."

Untuk melihat kenyataan penuh beliau tersebut (dalam bahasa Arab, sila klik pautan ini). Setelah meneliti keseluruhan kenyataan beliau, saya dapati beliau tidak menggalakkan kita beramal dengan selawat tersebut. Sebaliknya beliau mengajak kita berselawat dengan apa yang didatangkan oleh sunnah sahaja. Beliau juga menggesa sesiapa yang pernah beramal dengannya agar bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t.

Apa yang menarik, melalui kenyataan di atas, walaupun kelihatan agak tidak bersetuju, kita dapati beliau masih berlapang dada apabila memberi dua sudut pandangan yang berbeza dari dimensi fizika dan metafizika. Ini menunjukkan bahawa sesebuah wacana itu boleh dilihat dari dimensi yang berbeza. Maknanya boleh berubah berdasarkan sesuatu dimensi yang diambil kira. Aspek ini masih belum menjadi elemen budaya sesuatu perbahasan awam di Malaysia.

Bertolak dari itu, kita mungkin boleh mengatakan bahawa aspek "makna" yang didakwa bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah tadi masih boleh ditakwil dengan makna lain yang tidak bercanggah. Dalam ilmu bahasa Arab, gabungan ilmu-ilmu Sorf (kata), Nahw (ayat), Ma`ani (makna) dan Bayan (gaya pengucapan) perlu diambil kira sebelum kita membuat penetapan "makna sebenar" yang dimaksudkan dalam sesebuah wacana. Makna sebenar ini bermaksud makna saringan yang diperolehi daripada makna kamus, makna konteks dan makna budaya. Ini menuntut kecermatan yang tinggi sebelum kita membuat sesuatu rumusan.

Aplikasi kepada aspek-aspek makna tersebut untuk mencari "makna sebenar" Selawat Syifa', telah digarap oleh Nik Mohd Nazimuddin bin Nik Ibrahim dalam kata-kata beliau : "Timbul satu persoalan, kenapakah pula diri Nabi s.a.w yang jadi pengubat atau penyihat bagi rohani dan jasmani, sedangkan syariat, ajaran atau Quran yang dimaksudkan sebagai pengubat? Menjawab persoalan ini, apabila Nabi Muhammad sebagai utusan Allah yang dilengkapi bersamanya Quran dan ajaran-ajaran syariat maka diri tubuh badannya adalah sebagai penterjemah kepada Al-Quran dan penafsir bagi syariat. Ini terbukti di mana segala tingkah laku perbuatan dan perkataan Nabi adalah akhlak Al-Quran yang dijadikan sebagai contoh-tauladan.

Justeru diri Nabi adalah seumpama Syariat, lalu disandarkan diri baginda sebagai penawar dan penyembuh bagi rohani dan jasmani. Sebagaimana juga disandarkan perbuatan jahat yang sentiasa dan sebati dilakukan oleh anak Nabi Nuh kepada tubuh badan dirinya sendiri dalam surah Hud:ayat 46: انه عمل غير صالح ertinya: “Sesungguhnya dia (anak Nuh) adalah perbuatan yang tidak baik”.
Untuk melihat kenyataan penuh beliau, sila klik pautan ini.

Setelah membuat perbandingan antara ketiga-tiga pandangan di atas, saya melihat kita sering terbabas ketika membuat interpretasi ke atas sesebuah wacana. Selain itu, kita juga sering terjebak dengan "kecenderungan bawah sedar" untuk bias kepada apa yang kita anuti. Kedua-dua elemen ini boleh membuat kita terleka buat seketika sehingga rumusan yang kita buat sukar untuk diterima oleh pihak ramai.

Maafkan saya! Saya tidak akan memberi "fatwa baru" ke atas isu yang dibincang. Saya hanya membuka ruang untuk kita berfikir dan menilai sendiri sesuatu pendapat yang diberi. Lagipun saya bukanlah pakar dalam bidang syariah dan usuluddin untuk berbuat demikian. Apa yang ingin saya pesan, janganlah kita terlalu bergantung kepada satu aspek makna sahaja dalam membuat analisis ke atas sesebuah wacana atau kenyataan.

Ada kemungkinan besar Dr Mohd Asri "menyerang" Selawat Syifa' ini dengan tujuan "menyelamatkan" umat Islam Malaysia daripada terjatuh ke dalam bid`ah. Bagaimanapun, mereka yang masih ingin beramal dengan Selawat Syifa' tidak perlu terlalu gusar dengan kenyataan Dr.Mohd Asri tersebut.

Dalam fatwa no 38193 yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa di pautan ini, yang menyebut: "Dengan apa lafaz sekalipun, apabila seseorang itu berselawat ke atas s.a.w. dia telah melaksanakannya dan akan diberi ganjaran kerananya, selama mana lafaz tersebut tidak mengandungi perkara-perkara yang dilarang. Cuma, seafdal-afdal sighah (ucapan selawat) ialah sighah Selawat Ibrahimiah kerana Nabi s.a.w. telah mengajarkannya kepada para sahabat baginda bila mereka berkata : "Bagaimana kami hendak berselawat ke atas mu?" -Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi.

"Adapun dari sudut sighah (Selawat Syifa'), maka tidak terdapat di dalamnya perkara yang dilarang syarak. Ini kerana zahir (nyata) dalam ibarat (ayat) orang yang berkata (selawat tersebut) bermaksud "apa yang di bawa oleh Nabi s.a.w.". Apa-apa yang di bawa oleh Nabi s.a.w. di dalamnya terdapat penawar hati dan ubatnya, penyihat badan dan penyembuhnya, sinar pandangan mata dan cahayanya. Semua itu sama sahaja samada dari sudut fizika atau metafizika".

Dalam fatwa nombor 5025, Majlis Fatwa tersebut juga menyatakan bahawa lafaz berselawat di luar solat adalah luas (tidak terhad).

Apa yang ingin ditegaskan, kita harus berhati-hati dan adil dalam menilai sesuatu wacana. Contohnya hadis Nabi s.a.w. :-

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول في خطبته يحمد الله ويثني عليه بما هو له أهل ثم يقول (من يهد الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له، إن أصدق الحديث كتاب الله، وأحسن الهدي هدي محمد، وشر الأمور محدثاتها، وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة، وكل ضلالة في النار...) الحديث،

Maksudnya : Adalah Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam khutbahnya memuji Allah dan memuja Nya dengan apa yang layak untuk Allah. Kemudian baginda bersabda : "Sesiapa yang Allah beri ptunjuk kepadanya nya, maka tidak ada lagi yang dapat menyesatkannya. Dan sesiapa yang Allah sesatkannya, maka tiada lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Sesungguhnya setepat-tepat pengucapan ialah kita Allah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad, seburuk-buruk perkara ialah perkara baru yang diada-adakan, setiap yang baru diada-adakan adalah bid`ah, dan setiap bid`ah itu kesesatan, dan setiap kesesatan itu di dalam neraka...")

Setakat pembacaan yang telah dilakukan, saya dapati kebanyakan kita mudah cenderung untuk mengikat pemahaman kita kepada makna permukaan sesuatu wacana. Kita sering cepat membuat kesimpulan berdasarkan beberap kerat dalil sahaja. Sebagai contoh, dalam hadis di atas, ramai penganalisis sering terarah untuk memberi tumpuan kepada beberapa aspek tertntu sahaj dan mengabaikan aspek-aspek lain yang berkaitan dengannya.

Contohnya perkataan "bid`ah" dalam hadis di atas telah mendapat perhatian lebih di kalangan pembaca dan pemikir para berbanding perkataan "dholalah". Definisi "Bid`ah" telah dihurai dengan ditil dan terperinci. Kebanyakannya menjurus kepada maksud "sesuatu yang baru diada-adakan dalam beribadat kepada Allah sedangkan ia tidak mempunyai apa-apa perkaitan dan mana-mana "usul syarak" pun.

Sebenarnya sebelum kita melangkah jauh, kita perlu melihat kepada bentuk kata (محدثات) itu sendiri. Ia adalah kata sifat, terbitan daripada perkataan ( حدث = hadatha) yang dibentuk melalui acuan kata ( مفعل = muf`al). Dari sudut makna morfologi, acuan kata tersebut bermaksud merujuk kepada apa-apa yang dilakukan secara sengaja. Dengan itu, apa sahaja perkara baru yang sengaja diada-adakan adalah bi`dah. Jika definisi "bid`ah" kita hanya berlandaskan atau lebih dipengaruhi oleh makna morfologi sahaja, maka tiada siapa pun dalam hidup ini yang tidak terlibat dengan bid`ah. Oleh sebab itu, untuk membezakan antara bid`ah dengan sunnah, para ulama menetapkan jika sesuatu amalan yang baru itu ada kaitan dengan "usul syarak" maka ia dikira sunnah dan bukannya bid`ah.

Saudaraku, di sinilah bermulanya titik percanggahan sesama kita apabila kita ;-

1-Agak ketat atau terikat dengan satu dimensi sahaja ketika mengaitkan sesuatu amalan baru itu dengan sesuatu usul syarak. Contohnya ada pendapat yang mengatakan bersalam sesudah solat itu bid`ah kerana Nabi s.a.w. tidak berbuat demikian. Baiklah, tapi bagaimana pula jika seseorang itu melihat amalan tersebut sebagai suatu perbuatan yang tidak ada kena mengena dengan solat, sebaliknya dia melakukannya atas niat "musofahah" pada kesempatan bersolat secara berjamaah. Apa kita nak kata? Nampaknya, faktor niat dan tujuan juga ada signifikannya untuk merubah status sesuatu amalan baru itu daripada bid`ah kepada sunnah atau sebaliknya.

2- Tidak melihat makna sesebuah wacana secara holistik. Tajuk atau mesej utama hadith tersebut ialah persoalan HIDAYAH dan DHOLALAH. Nabi s.a.w. ingin menjelaskan bahawa ia adalah urusan Allah s.w.t. Kedua-duanya datang daripada Allah s.w.t. Seseorang manusia sama ada berada dalam petunjuk atau kesesatan adalah di bawah kemahuan Allah. Namun, ia tidak menafikan keupayaan manusia untuk berusaha mencari petunjuk daripada Allah dan hadith Rasulullah s.a.w. Oleh sebab itu, dalam hadith tersebut, baginda memberi amaran agak kita tidak mengada-adakan perkara baru yang boleh membawa kepada kecelakaan dan kesesatan sehingga manusia terjerumus ke dalam neraka.

Itulah intipati wacana hadith tersebut. Oleh itu, kita tidak harus lupa bahawa antara ciri-ciri "bid`ah" (selain merujuk kepada perkara-perkara baru yang di adakan), ia juga merujuk kepada perkara yang membawa kecelakaan dan kesesatan. Perkataan (شر) dan (ضلالة) yang disebut dalam hadith tersebut juga perlu diambil kira sebagai ciri asas dalam menentukan sesuatu amalan itu bid`ah atau tidak. Jadi, bagaimana sikap anda dalam tindakan membid`ahkan sesuatu yang baru? Adakah anda nampak ciri-ciri kesesatan pada mereka yang bertahlil ke atas si mati? Adakah akan masuk neraka mereka yang berwirid sesudah solat? Anda tentukan sendiri sikap anda.

3- Terlupa atau tidak tahu bahawa banyak amalan dalam hidup kita yang tidak ada nas yang jelas itu boleh disandarkan kepada "perkara-perkara yang dibolehkan" (al-Jawaaz). Maksudnya ia tidak dilarang atau disuruh dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum yang telah sedia ada. Contohnya konsep ibadat "Rahbaniyyah" yang telah dicipta oleh pengikut Nabi Isa a.s, sedangkan Allah tidak mewajibkannya ke atas mereka, tetapi telah diterima oleh Allah. Firman Nya;-

ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَىٰ آثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الإِنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا ۖ فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُون

Maksudnya;
"Kemudian Kami iringi sesudah mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa Ibni Mariam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri) dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik (derhaka)" - al-Hadiid/27

Apa yang ingin ditonjolkan dari ayat tersebut ialah manusia masih mempunyai ruang untuk mengadakan perkara-perkara baru selagi ia tidak bercanggah dengan usul syarak sekalipun dalam perkara-perkara ibadat umum. Perkataan (وجعلنا = menjadikan) dalam ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah menerima konsep "Rahbaaniyyah" yang diadakan oleh pengikut Nabi Isa a.s. Penerimaan tersebut merupakan ruang untuk manusia berinovasi dalam kehidupan mereka. Apapun, saya tidak berniat menyebelahi mana-mana golongan. Saya lebih suka andai kata perbincangan kita dalam kes-kes begini, bersih daripada unsur-unsur kata serangan kepada pihak lawan atau mereka yang tidak sealiran dengan kita. Marilah kita berlapang dada berbincang secara damai dan insaf.

Cukup dulu untuk kali ini. Dalam tulisan berikutnya, saya akan cuba mengupas formasi perkaitan makna "Dholalah" dengan "Bid`ah". Semestinyakah setiap yang baru itu bid`ah dan menyesatkan? Apa maksud baru? Bagaimanakah cara sesuatu yang baru itu boleh dikaitkan dengan sesuatu nas atau usul syarak? Jawapan-jawapan kepada soalan ini akan dapat memberi penjelasan kepada status Selawat Syifa untuk di amalkan atau tidak.

Sekian

10 Nov. 2009 , 4.20 pagi

3 comments:

  1. Asalamualaikum!

    Apa hukumnya menambah perkataan 'saidina' dalam selawat ketika solat?

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumsalam pendekartua,

    Pada pandangan saya, ia tiada salahnya ..

    ReplyDelete