Monday, August 16, 2010

Doa Untuk Tuanku Sultan Ismail Petra

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Tidak terniat di hati ini untuk mengajar sesiapa. Apa yang ingin dikongsi hanyalah sekadar pandangan seorang rakyat yang simpati dengan ujian dan kepayahan yang menimpa Tuanku al-Sultan Ismail Petra sejak lama. Moga Allah meringankan dan menghilangkan keperitan yang sedang Tuanku alami kini.

Setiap kali mendengar khutbah kedua Solat Jumaat yang diucapkan oleh para khatib di negeri Kelantan DN, saya dapati ada lafaz doa yang dipanjatkan kehadrat Allah s.w.t. untuk memohon kesihatan kepada Tuanku al-Sultan yang perlu DIPERBAIKI laras ayatnya agar ia lebih bertepatan dengan maksud yang diinginkan. Lafaz tersebut ialah :-

اللهُمَّ اشْفِهِ شَافِيًا كَامِلاً
"Ya Allah ! Sembuhkanlah Dia (al-Sultan) dalam keadaan sembuh yang sempurna"

Mengikut fungsi nahuan Tatabahasa Arab, penggunaan kata sifat (شافيا) sesudah kata kerja -seperti kata kerja perintah (اشفه) tersebut- akan memberi maksud "menerangkan keadaan atau kedudukan atau kondisi sesorang atau sesuatu benda ketika berlaku sesuatu perbuatan". Ia bersifat sementara atau bertempoh kerana sesuatu keadaan atau kondisi adalah suasana yang wujud secara tidak kekal. Kewujudannya bergantung kepada masa berlakunya sesuatu perbuatan.


Dalam konteks doa tersebut, kata sifat ( شافيا ) akan bermaksud "sembuh" yang dipohon untuk Tuanku al-Sultan hanya akan hadir sebagai suatu kondisi atau keadaan yang sementara. Maksud seperti ini sudah tentu tidak dingini oleh si pendoa dan para makmun yang mengaminkan doa tersebut. Ia hanya bersifat sementara ataupun tidak betul-betul sembuh.


Sesudah salah satu solah Jumaat di Masjid Nilam Puri, Kota Bharu Kelantan, saya telah berbincang dengan Imam Tua masjid tersebut, al-Fadhil Ustza Ghazali tentang doa tersebut. Hasilnya kami sepakat mengatakan bahawa adalah lebih baik kata sifat (شافيا) tadi diganti dengan kata dasar atau masdar (شفاء) kerana ia akan memberi maksud penegasan dan kesungguhan dalam mendapatkan maksud doa yang dipanjat. Bermula dari minggu tersebut, Tuan Imam tersebut telah mengubah doa tersebut kepada makna penagasan seperti yang telah kami bincang bersama.

Apapun, segala kepayahan yang menimpa Tuanku al-Sultan adalah tanda Allah s.w.t. masih mengasihi baginda dan mempunyai segala hikmat. Kepada Sultan Muhammad Ke V pula didoakan semoga pemerintahan Tuanku sentiasa dipayungi Allah s.w.t.

Sekian.
2010.

No comments:

Post a Comment