Wednesday, December 30, 2009

Champagne!

Oleh: Jamaluddin Bin Awalluddin.

Soal, "Champagne?, arak?". Jawab, "Ya, Champagne".

Champagne adalah nama yang diberi kepada sejenis minuman anggur putih yang berkilauan, ia berdesir dan berbuih pabila dihidang. Ia diambil sempena dari nama tempat arak jenis ini dilahirkan, di Champagne, Perancis.

Merapu; keseimbangan mereput; wajah bergejolak; mata merah saga dan kelakuan hilang tentu. Itu adalah kesan bagi tindakbalas kuantiti etanol tinggi dalam aliran darah selepas Champagne - atau mana-mana dari ahli keluarga arak - diteguk dan meresapi tubuh seseorang. Dari hati ia bermula, ke gerak-tindak ia kan berakhir.

Manusia akan menggelongsor dari hakikat realiti dan manusia akan gugur melayang melepas tali pergantungan, berhempas ke laut ketidaktentuan, selepas arak diteguk.

Antara kesan penting kemabukkan ialah cakap meracau merapu tidak menentu. Manusia bercakap tetapi tidak menyedari apa yang ia ucapkan.

Dalam gerak intonasi berat perlahan, bibir yang bergetar menghambur kata, hasil dari gerak lidah melentur melantun-lantun memukul lelangit itu tidak datang dari kemahuan dan kerelaan hati seseorang, atau tidak dengan niat. Sebaliknya ia terucap berhambur kerana racauan petunjuk syaitan yang meraja dalam tubuh selepas menang undian majoriti etanol. Dan yang utamanya, ucapan tersebut tidak akan berpaut dan akan lolos dari hukum mantik yang mengusai kesedaran seseorang itu.

Kunci peristiwa yang ingin dipetik untuk dilanjut adalah "tidak menyedari apa yang diucapkan". Dalam antara satu tingkat pengharaman arak, ayat ini diturunkan;

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendekati solat ketika kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu sedar apa yang kamu ucapkan .." (Q:4:43)

Ringkasnya, secara timbal-balik, arak diharamkan kerana manusia yang mabuk tidak akan memahami apa yang ia ucapkan ketika solat. Dalam solat pula, kefahaman adalah kunci kesedaran untuk manusia menjerumus diri ke dalam keasyikkan tarian doa kepada-Nya. Kerana asbab inilah antaranya arak itu diharamkan.

Pokoknya, perlulah ditinggalkan apa-apa yang boleh mencetus ketidakfahaman di dalam solat kerana ketidakfahaman berkenaan ucapan dalam solat ini adalah terlarang jika didasarkan kepada ayat pengharaman arak tersebut.

Begitu juga kiasnya kepada kejahilan makna pengucapan. Solat itu doa dan keseluruhan daripada doa itu distrukturi oleh Bahasa, yakni Bahasa Arab. Oleh itu kunci kesedaran kefahaman dalam solat juga adalah Bahasa Arab. Memahami Bahasa Arab adalah jalan untuk menyedari apa yang bakal didoa atau diucapkan dalam solat.

Dan, demi mematuhi suruhan supaya "menyedari apa yang diucapkan itu", maka seolah-olah wajib jugalah bagi manusia-manusia beriman yang jahil bahasa Arab supaya mempelajarinya sebagaimana wajibnya meninggalkan perbuatan meminum arak.

Nilam Puri, Kelantan.

Monday, December 14, 2009

"Air Sje-Sje"

Oleh : Dr. Mohd Rosdi Ismail

Pada pertengahan November dan awal Disember 2009, hujan turun lebat turun mencurah-curah. Ruang pejabat utama kami tiris dan bocor di sana sini. Air menitis-dan menitis membasahi lantai. Bau hampak karpet menerjah lubang hidung kami. Susulan tiupan angin kencang memakasa kami menadah bekas-bekas takungan air di sana sini. Lantai pejabat kami lejuh dengan "air sje-sje".

Melihat semua itu, aku teringat kembali firman Allah s.w.t. ayat 14, surah al-Naba'

وَأَنْزَلْنَا مِنَ الْمُعْصِرَاتِ مَاءً ثَجَّاجًا
Maksudnya :-
14] Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah,

Begitulah hebatnya al-Quran. Semua fenomena alam tersebut di dalamnya. Apa yang ingin dikongsi di sini ialah perkataan "maa'an thajja-ja". Dalam dialek Kelantan ia di sebut "air sje-sje". Apakah ia telah dipinjam daripada bahasa Arab atau sebaliknya ... aku tak pasti. Apa yang pasti dua-dua ungkapan tersebut ada persamaan dari sudut sebutan dan maksud yang dibawa.

Walau apa sekalipun, aku melihat persamaan tersebut sebagai salah satu kehebatan al-Quran. Andaikata orang Kelantan telah mencedoknya daripada al-Quran dan menggunakannya sebagai salah satu kosa kata dialek mereka, ia adalah petanda bahawa pengaruh al-Quran telah meresap sekian lama kehidupan mereka. Barangkali ada kewajarannya jika mereka mendakwa Kelantan sebagai serambi Mekah. Sebaliknya, jika itu berlaku secara kebetulan, ia adalah tanda kekuasaan Allah s.w.t. yang telah menurunkan al-Quran untuk seluruh manusia.

Untuk makluman anda, menurut sesetengah pengkaji bahasa Arab, dalam al-Quran terdapat beberapa perkataan bahasa lain yang telah diarabkan (al-Alfaaz al-Mu`arrbah). Antara pendokong aliran ini ialah Abu `Ubayd al-Qaasim bin Salaam, al-Khuwayyi, Ibn al-Naqeeb, al-Syawkaaniy dan lain-lain lagi. Bagaimanapun kewujudan beberapa perkataan ini tidaklah mencacatkan martabat al-Quran sebagai sebuah kitab yang diturunkan dalam bahasa Arab. Bahkan jika dikaji, ia mempunyai hikmah dan menjadi pelengkap pula kepada mukjizat al-Quran itu sendiri. Namun, tajuk hari ini tidak berhasrat mendalami persoalan tersebut. Kalau nak tahu lebih, googlelah sendiri dengan menulis الألفاط المعربة في القرآن الكريم, anda akan temui banyak esei yang telah ditulis tentang tajuk ini.

Selamat meneroka. Insya Allah kita akan jumpa lagi lain kali dengan perkataan baru صفا صفا . Sekian, terima kasih.

12.38 pagi.

Sunday, December 13, 2009

Surat Cinta Lama VS Surat Khabar Lama

Oleh : Dr. Mohd Rosdi Ismail

Pada jam 3.00 petang, 12 Disember 2009, bersungguh-sungguh aku cuba gambarkan kepada para peserta Kursus BAM 1101 Juzuk 1 akan kepentingan memahami makna patah-patah perkataan dalam al-Quran sebagai bekalan menghayati ibadat, terutamanya solat. Ada yang mengangguk dan ada yang berkerut-kerut dahi untuk memahami ruh makna bahasa al-Quran yang sedang dibincangkan.

Tak semena-mena, salah seorang daripada mereka berkata : "Kita dah tahu makna setiap patah perkataan dalam surah al-Fatihah dan kita juga dah baca berkali-kali .. tapi kenapa sampai sekarang kita masih tak juga khusyuk dalam solat kita?". "Betul juga" detik hatiku. "Boleh ustaz beri jawapan?" aku dicabar lagi. Sekoyong-koyong tergambar kembali dalam kotak ingatanku iklan "Surat Khabar lama! Surat Khabar Lama!" yang pernah aku gemari satu waktu dahulu.

"Pokok pangkalnya adalah cinta" aku memulakan jawapan. "Surat Cinta Lama tetap segar dan segar di hati kita walaupun telah usang tarikhnya. Apalagi jika kekasih kita dahulu kini menjadi isteri kita dan kita sama-sama membaca surat cinta lama itu". ujarku. Ada yang ketawa dan ada yang menjeling kepada isterinya di sisi.

"Tapi apa yang kita rasa bila baca surat khabar lama? Boleh jadi kita simpan untuk bungkus nasi atau apa-apa je". Semua diam dan memadang ke arah ku. "Begitulah al-Quran. Jika kita baca dengan penuh rasa kasih dan cinta, ia akan memberi kepuasan. Namun jika sebaliknya, ia akan melaknat kita. Sudah tentu kita tak akan khusyuk".

Akhirnya mereka puas hati dengan jawapan yang aku berikan.
Sekian.

5.25 pagi, Nilam Puri. Kota Bharu

Tuesday, December 1, 2009

Tertambat Sehingga Mati

Oleh : Jamaluddin b. Awalluddin

Tambat. Ramai orang takut ditambat. Ramai juga yang sedang tertambat. Dan, ramai juga yang bangga ditambat. Fenomena ketiga sememangnya sukar, dan ianya memerlukan aras IQ 140 ke atas hanya untuk cuba memahami erti dasarnya sahaja.

Yang takut ditambat ibarat merpati yang terbiasa terbang bebas. Yang sedang tertambat ibarat lembu menanti qurban, manakala yang bangga ditambat pula ibarat ketam yang berkeras untuk percaya bahawa berjalan itu seharusnya lurus.

Bukan merpati menjadi isu; bukan juga lembu, bahkan bukan juga ketam menjadi soalnya. Tersedar ditambat atau tidak sahaja yang bakal menjadi inti sembang-bualnya.

"Mengaji Quran". Semua orang tahu bahawa ia adalah sebahagian daripada budaya dan aktiviti rutin bangsa melayu. Dari lontaran kunci-kunci suara bernada sumbang, sehinggalah ke kunci-kunci suara bertaraf biduan-biduanita. Itulah bayang-bayang yang bakal berlegar pabila ianya dilafaz-nyata. Seolah-olah suatu padang untuk usaha pembelajaran seni-suara ala Islam.

Tidak ramai yang tahu dan tidak ramai yang sedar, bahawa usaha "mengaji" tersebut membolehkan gunung goyang-bergoncang dan langit rekah-meretak. Tapi yang pasti, bukanlah dengan tarik nyaring kunci suara aras tinggi ala penyanyi opera tenor Itali - Luciano Pavarotti. Sama-sekali tidak.

Jika dihentikan sebentar masa, dibekukan hujah-balas dan dibukakan sebentar penjara, makna "mengaji" itu sendiri akan jelas membawa kepada makna "perbuatan mendalami". Kenapa? kerana "mengaji" itu berasal dari kata "kaji" yang digabung dengan imbuhan "meng". Sepertimana "meng-ketuk" menjadi "mengetuk", begitu juga "meng-kaji" bertukar menjadi "mengaji". (*Nota; Jangan tanya definisi makna dari Kamus Dewan kerana ianya jelas tidak berpihak kepada inti berkualiti bebas artikel ini)

Oleh kerana Quran itu tercatat di dalam Bahasa Arab, demi untuk mencapai matlamat "meng-kaji" itu, beberapa langkah harus ditempuh oleh seseorang melayu itu. Pertama-tamanya, sebelum mula men-kaji ia perlu faham struktur ayat. Manakala untuk faham struktur ayat pula, ia perlu tahu makna ayat dan untuk tahu makna ayat, ia perlu mengenal watak-watak hurufnya, demi membolehkan ia meneroka sendiri himpunan kata Quran itu di dalam kamus bahasa arab.

Inti-pokok yang ingin ditegaskan di sini adalah bahawa, definisi meng-kaji itu telah sengaja - atau mungkin tidak-sengaja - ditambat oleh medan-psyche melayu kepada peringkat awal usaha pembelajaran Quran sahaja, iaitu usaha mengenal huruf dan usaha pembacaan harfi yang nyaring meliuk-lentuk.

Maka rentetan dari itu, terlahirlah usaha bernyaring-suara yang melampaui dos-perlu di dalam aktiviti umum masyarakat melayu terhadap usaha meng-kaji Quran pabila jalan lanjutan ke hadapan untuk penerokaan intinya seolah-olah sudah dikerat atau ditutup oleh entah siapa. Ia malangnya telah membawa medan-psyche melayu untuk berhenti di satu takuk pembelajaran asas sahaja - berhenti untuk asyik berseronok di sana.

Maka, terlena sebentar lah gunung dari bergoncang dan tertampal pula lah retak di langit pabila tiada yang sudi meng-kaji atau mengaji - dalam istilahnya yang sebenar - Quran mukjizat terbesar Rasulullah itu.

Oleh itu, kitalah melayunya, atau kitalah ketamnya, jika kita bangga membawa masyarakat untuk "Tertambat Sehingga Mati".

Nilam Puri, Kelantan.